Monday, March 29, 2010

Unit Amal membantu Karnival PASTI Sepanggar

Oleh: Al-Mansur

PAS kawasan Sepanggar telah mengadakan Karnival PASTI kawasan Sepanggar pada 27 dan 28 Mac baru-baru ini. Program tersebut di adakan di masjid, padang dan dewan Putera Jaya, Telipok, Kota Kinabalu. Pelbagai acara telah diaturkan untuk pelajar PASTI dan masyarakat setempat.

Pada 'Karnival PASTI kawasan Sepanggar' yang pertama kali diadakan ini, Jabatan Amal telah terlibat secara langsung di dalam menjayakan program tersebut. Unit Amal kawasan Sepanggar sekali lagi telah menunjukkan komitmen yang tinggi bagi memastikan setiap acara yang berlangsung dapat berjalan dengan lancar.

Turut menyumbang kepada kejayaan ini ialah pasukan 'Briged Amal' yang baru ditubuhkan baru-baru ini. Pada karnival ini juga, Jabatan Amal telah diberi ruang untuk pameran. Oleh yang demikian Jabatan Amal telah mengambil kesempatan ini untuk mempromosi dan mempamerkan gambar-gambar aktiviti sepanjang 5 tahun Jabatan Amal bergerak di negeri Sabah. Rata-rata pengunjung yang hadir amat tertarik dengan ruang pameran yang disediakan.

Selain dari membantu persiapan tempat, unit amal juga membantu acara balapan (sukaneka pasti), membantu bahagian dapur (bubur lambuk), keselamatan, kebersihan dan rawatan berbekam. Untuk makluman juga, anggota unit amal adalah yang terawal hadir membantu dan mereka jugalah yang terkahir meninggalkan tapak program. Tahniah dan terima kasih kepada semua anggota unit amal yang terlibat. Teruskan usaha amal saudara!

Gambar sekitar program 'Karnival PASTI kawasan Sepanggar'

Unit Amal membantu menyiapkan pentas utama

Pameran Jabatan Amal negeri Sabah

Salah seorang pengunjung yang tertarik dengan pameran Jabatan Amal negeri Sabah

Rawatan 'bekam' yang disediakan di karnival

Membantu kelancaran acara sukaneka



Monday, March 15, 2010

Jambori Amal Pantai Barat Sabah 2010

Kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana Jambori Amal Pantai Barat Sabah telah berjaya dilaksanakan pada 12,13 dan 14 Mac 2010 baru baru ini. Bertempat di Kg. Indarasun Laut, Kudat seramai hampir 130 orang peserta dari seluruh kawasan unit Amal Pantai Barat Sabah telah menyertainya. Antara kawasan yang telah menghantar peserta pada Jambori kali ini ialah unit Amal Kudat, unit Amal Pitas, unit Amal Kota Marudu, unit Amal Kota Belud, unit Amal Sepanggar dan unit Amal Keningau.

Sebahagian peserta Jambori Amal Pantai Barat 2010 bergambar beramai-ramai.

Pada siri Jambori Amal kali ini juga, satu lagi sejarah manis telah dicipta, di mana pelancaran 'Briged Amal peringkat Negeri Sabah' dengan secara rasminya telah dilancarkan. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Amal negeri Sabah, Saudara Amir Saifuddin Samsuddin pada slot 'Induksi Amal' yang diadakan pada hari terakhir jambori tersebut. Seramai lebih kurang 70 orang peserta dari kalangan remaja telah diterima sebagai ahli briged amal pada majlis tersebut, seterusnya pemakaian 'badge briged amal' sebagai simbolik kepada 'keahlian' telah disampaikan kepada ahli briged amal. Saudara Amir Saifuddin Samsuddin pada majlis perasmian tersebut mengingatkan kepada semua peserta tentang teras 5 budaya Jabatan Amal sebagai tunggak kepada semua ahli unit amal agar dijadikan asas dalam gerak kerja Jabatan Amal.

Induksi Amal dan Majlis Pelancaran Briged Amal

Sehari sebelum itu pelbagai kegiatan amal dan kebajikan telah dilaksanakan di perkampungan Indarasun. Antaranya, gotong royong membaiki masjid dan kemudahan tandas, gotong royong membersihkan perkuburan, pemeriksaan kesihatan, kelas memasak, malam kebudayaan, program anak angkat dan penyampaian bantuan kepada fakir miskin. Selain dari itu beberapa aktiviti pertandingan dari kalangan peserta dan penduduk turut diadakan. Antaranya pertandingan merempuh halangan, sumpit, timbang bola, tarik tali, bola sepak dan lain-lain lagi. Pada jambori kali ini juga pertandingan perkemahan dan gajet terbaik turut dilaksanakan.

Acara tarik tali

Gotong-royong membersih perkuburan

Pemeriksaan kesihatan oleh 'Amal Medical Team'

Kelas memasak untuk kaum ibu

Program yang mendapat sambutan baik dari kalangan penduduk ini telah melakarkan sejarah tersendiri apabila rata-rata penduduk melahirkan rasa terharu diatas kesediaan Jabatan Amal memilih kampung mereka sebagai tapak jambori amal pada tahun ini. Bagi pihak Jabatan Amal negeri semua gerak kerja amal ini adalah kejayaan bersama di atas sokongan dan dokongan dari semua peringkat. Tahniah kepada unit Amal Kudat selaku tuan rumah, ALP negeri yang terlibat, seterusnya unit amal seluruh kawasan Pantai Barat. Juga tidak dilupa sumbangan kewangan serta kenderaan dari unit Amal Putatan pada saat-saat akhir banyak membantu kelancaran program walaupun mereka tidak dapat hadir di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Tahiah kepada semua!
Allahuakbar!

'Beramal kerana Allah'

Wednesday, March 3, 2010

JAMBORI AMAL SANDAKAN

Tanggal 26-28 Februari 2010, Jabatan Amal Sandakan  telah berjaya menganjurkan program Jambori Amal peringkat Sandakan yang diadakan di Scout Nature Park, Sandakan.

Program yang bermula pada petang Jumuat tersebut telah disertai kira-kira 40 orang peserta dari kalangan pelajar beberapa buah sekolah terpilih di Sandakan. Para peserta didedahkan dengan konsep kerja amal dalam islam yang bertunjangkan keikhlasan dan dengan tujuan menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Program telah berjalan sehingga menjelang tengahari Ahad.




Para peserta didedahkan dengan beberapa siri kuliah dasar, perbincangan LDK, latihan Kawad dan kerja amal gotong royong membersihkan masjid.


Antara matlamat program ini adalah untuk memperkemaskan Unit Amal Sandakan dan meninjau kemungkinan mengembangkan Briged Amal di kalangan remaja. Menurut pengarah program kali ini, Sdr Haris Bin Bahar, yang merupakan Ketua Jabatan Amal Sandakan, beberapa individu yang menyertai program kali ini telah dikenalpasti untuk diletakkan dalam jawatankuasa Unit Amal yang akan digerakkan bagi menjayakan beberapa siri kerja amal yang akan dirancang. 

Para peserta telah diberikan baju Unit Amal  dan dilatih menyanyikan lagu rasmi Unit Amal. Diharapkan program kali ini akan menjadi titik mula melebarnya tentera merah dalam kerja amal di peringkat Sandakan.